Latar Belakang

Nama sebenar al-Imam Ibnu al-Jazari ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin `Ali bin Yusuf al-Jazari al-Dimasyqi. Beliau digelar sebagai Abu al-Khair. Beliau dilahirkan pada malam Sabtu 25 Ramadhan 751 Hijriah di Dimasyq, Syam. Di Dimasyq inilah beliau dibesarkan dan menjadi tempat beliau tamat menghafaz al-Quran ketika beliau berusia 14 tahun lagi. Apabila beliau membesar beliau lebih cenderung untuk mendalami ilmu al-Qiraat daripada masyayikh-masyayikh yang ada pada ketika itu.

Guru-guru beliau Di antara ulama-ulama Dimasyq yang menjadi tempat beliau bertalaqqi ialah Abu Muhammad Abdul Wahhab bin as-Salar, Syeikh Ahmad bin Ibrahim at-Thohhan, Syeikh Abu al-Ma`ali Muhammad bin Ahmad al-Labani dan al-Qodhi Abu Yusuf Ahmad bin al-Husain al-Kifri al-Hanafi.

Manakala guru-guru beliau dari Mesir ialah Abu Bakr Abdullah bin al-Jundi, Abu Abdillah Muhammad bin as-Sho`igh, Abu Muhammad Abdul Rahman bin al-Baghdadi dan Syeikh Abdul Wahhab al-Qorwi. Ketika beliau bermusafir ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji dan menuju ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah s.a.w, beliau telah bertalaqqi al-Quran dengan Imam Masjid al-Nabawi ketika itu iaitu Muhammad bin Soleh. Beliau juga telah mentalaqqi al-Quran daripada hampir semua imam-imam qiraat daripada Syam, Mesir, Hijaz baik secara ifrad dan jama` dengan berpandukan kitab-kitab qiraat yang muktabar seperti as-Syatibiah, at-Taisir, al-Kafi, al-`Unwan, al-I`lan, al-Mustanir, at-Tazkirah, at-Tajrid dan lain-lain kitab qiraat yang masyhur pada ketika itu yang menjadi rujukan utama umat Islam dalam bidang ini. Beliau juga mengadakan majlis pengajian qiraat selama beberapa tahun di Jami` Umawi, Dimasyq dengan sambutan yang cukup hebat oleh murid-murid beliau pada masa itu. Ada dikalangan mereka yang bertalaqqi daripada beliau berdasarkan satu buah kitab qiraat sahaja. Ada juga yang lebih daripada satu buah kitab. Ada yang bertalaqqi daripada beliau Qiraat Tujuh, Qiraat Sepuluh bahkan lebih daripada itu.

Antara anak-anak murid beliau yang mengambil Qiraat Sepuluh ialah anak beliau sendiri Abu Bakr Ahmad bin Muhammad, Syeikh Mahmud bin al-Husain as-Syirazi, Syeikh Najibuddin Abdullah bin al-Husain al-Baihaqi, Syeikh Muhammad bin Ahmad bin al-Haim dan sebahagian besar murid-murid beliau yang lain.

Kegigihan beliau Kesungguhan beliau untuk mendalami ilmu qiraat ini cukup terserlah dengan ketabahan beliau merantau keseluruh rantau Islam untuk belajar ilmu Qiraat dan mengajarkannya. Beliau telah bermusafir ke Mesir, Madinah, Basrah, Samarqand, Khurasan, Isfahan dan Syiraz. Ketika beliau singgah di `Anizah, Najd beliau telah mengarang kitab ad-Durrah al-Mudhiah, kitab Qiraat Tiga untuk menyempurnakan Qiraat Tujuh oleh Imam as-Syatibi sehingga dikenali sebagai Qiraat Sepuluh Syughra.

Ketika beliau berada di Madinah, setelah selesai beliau mengarang Tahbir at-Taisir, beliau mengarang satu kitab lagi yang cukup bermakna dalam dunia ilmu al-Quran dan al-Qiraat iaitu an-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr. Kitab ini merupakan kitab yang paling sempurna di antara sekian banyak kitab-kitab beliau dalam membahaskan ilmu tajwid dan qiraat. Kitab inilah yang menjadi manhaj tertinggi pengajian ilmu qiraat sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang.

Setelah itu, beliau telah mengarang sebuah kitab untuk mentalkhis kitab an-Nasyr ke dalam bentuk matan dengan nama Toyyibah an-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr. Kitab inilah yang telah al-Azhar tetapkan dalam manhaj pengajian qiraat di marhalah Takhassus Qiraat di maahad-maahaq qiraat di seluruh Mesir. Di samping itu, semasa beliau berada di Madinah beliau telah mengarang beberapa kitab lain samada qiraat dan lain-lain.
Kealiman beliau dalam bidang-bidang lain Sebenarnya al-Imam tidaklah alim dalam bidang qiraat sahaja, bahkan beliau sangat alim dalam beberapa disiplin ilmu yang lain seperti tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, tauhid, tasauf, nahu, sorf, balaghah dan lain-lain lagi. Akan tetapi, di antara ilmu-ilmu yang dinyatakan tadi ternyata beliau lebih alim dalam bidang ilmu hadith. Al-Imam telah mempelajari ulum hadith ini daripada guru-guru beliau seperti as-Syeikh Solahuddin bin Ibrahim bin Abdullah al-Muqaddisi al-Hanbali, al-Imam al-Mufassir al-Muhaddith al-Hafiz Abu al-Fida` Ismail bin Kathir, al-Imam Ibnu `Asakir, Zainuddin bin Abdul Rahim al-Isnawi dan beberapa guru beliau yang muktabar.

Beliau mendalami ilmu ini baik dirayah mahupun riwayah sehingga beliau digelar al-Huffaz ath-Thiqat al-Athbat. Beliau berguru dengan al-Imam al-Isnawi dan al-Imam Ibnu Kathir sehinggalah beliau diberi keizinan oleh gurunya untuk memberi fatwa dan pengajian pada tahun 774 Hijriah sedangkan pada ketika itu beliau baru berumur 24 tahun dan al-Imam Ibnu Kathir merupakan guru pertama yang memberi ijazah keizinan memberi fatwa kepada beliau. Beliau juga diiktiraf untuk memberi fatwa oleh as-Syeikh Dhiauddin pada tahun 778 Hijriah. Manakala pada tahun 785 Hijriah, Syaikhul Islam al-Balqini juga melakukan perkara yang sama. Beliau telah dilantik sebagai Masyikhah as-Solihiyyah di Baitul Maqdis selama beberapa waktu.

Beliau juga pernah dilantik sebagai qadhi di Syam dan Syiraz. Ketika beliau di Syiraz, beliau telah menubuhkan sebuah madrasah untuk mengajar ilmu qiraat yang diberi nama "Darul Quran". Kewafatan beliau Pada waktu dhuha hari Jumaat bertepatan 5 Rabi`ul Awwal 833 Hijriah, beliau telah pulang mengadap Rabul `Izzati. Beliau telah disemadikan di Darul Quran yang diasaskan olehnya. Jenazah beliau telah diiringi oleh seluruh umat tanpa mengira darjat dan pangkat. Ini memberi bukti beliau benar-benar dikasihi umat.

Renungan Bersama Sesungguhnya al-Imam merupakan seorang yang alim, soleh, wara`, zuhud dan pemurah. Seluruh masa dan waktu beliau penuh dengan amal kebajikan dan taqarrub. Sentiasa membaca al-Quran dan mendengarnya daripada orang lain, tekun menuntut ilmu sehinga mampu mengarang. Beliau tidak pernah meninggalkan qiamullail baik ketika beliau kelapangan atau dalam permusafiran. Senantiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta tiga hari dalam setiap bulan. Banyak karangannya yang bermanfaat menunjukkan tingginya kegigihan beliau dan hebatnya ilmu beliau tanpa mengira disiplin ilmu apatah lagi dalam bidang ilmu al-Quran dan al-Qiraat yang diberi kelebihan oleh Allah S.W.T kepada beliau

Biodata Imam Syatibi r.a

Nama sebenar beliau adalah al-Qasim bin Firruh bin Ahmad bin Khalaf bin Abu Qasim Muhammad al-Syatibiy al-Ru’ainiy al-Andalusiy al-Dhorir dan beliau bermazhab Syafi’ei. Dilahirkan dalam keadaan buta pada akhir tahun 538 hijrah di Andalus (Sepanyol) disebuah perkampungan yang bernama Syatibah (sekarang dalam daerah Barcelona). Di Syatibah beliau mempelajari al-Qur’an dan Qiraat daripada gurunya Abi Abdullah Muhammad bin Abi al-‘As al-Nafari. Kemudian beliau merantau ke Balansiah iaitu satu perkampungan yang berhampiran dengan Syatibah dan berguru dengan Ibn Huzail. Beliau mempelajari ilmu Qiraat dan telah menghafal kitab al-Taisir karangan Imam Abu ‘Amru al-Dani dan juga mempelajari ilmu hadith. Beliau juga telah mempelajari ilmu Qiraat dari Syeikh Abi Tohir al-Salafi di Iskandariah, Mesir. Apabila beliau beliau sampai ke Mesir, beliau telah diberi penghormatan yang tinggi oleh ulama’-ulama’ di Mesir dan sekali gus dilantik sebagai ketua lujnah al-Qur’an oleh raja Mesir pada ketika itu. Imam Abu Syaamah al-Dimasyqiy mencipta sepotong syair yang menggambarkan betapa tingginya penghormatan ulama’-ulama’ Mesir terhadap Imam Syatibiy yang berbunyi:

رأيت جماعة فضلاء فازوا * برؤية شيخ مصر الشاطبي وكلهم يعظمه ويثنى * كتعظيم الصحابة للنبي[1]
Bermaksud: Aku melihat sekumpulan ulama’ yang bergembira dengan munculnya Imam al-Syatibiy, Dan kesemuanya membesar dan memuji beliau seakan-akan para sahabat memuji nabi. Masyarakat Mesir pada ketika itu berlumba-lumba untuk mempelajari al-Qur’an daripadanya. Kebiasaanya beliau memulakan pengajaran selepas solat subuh dan sentiasa mendahulukan murid-muridnya yang datang awal dengan berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu” .

Pernah berlaku, seorang anak muridnya yang selalu datang awal tidak dibenarkan membaca dahulu tanpa diberitahu sebabnya dan disuruh pula murid yang datang selepasnya membaca dahulu. Berfikirlah anak murid yang selalu datang awal itu seketika tentang perkara tersebut lalu tiba-tiba beliau menyedari bahawa beliau masih dalam keadaan junub. Lalu bergegaslah beliau untuk membersihkan diri (mengangkat hadas besar) dan sekembalinya beliau ke tempat pengajian, didapati murid yang kedua tadi masih belum selesai membaca dan ketika itu jugalah Imam al-Syatibiy serta-merta memberhentikan murid keduanya dan terus berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu”

Di antara kehebatan beliau ialah dapat mendengar azan yang menunjukkan masuk waktu solat tanpa diazankan. Beliau tidak bercakap kecuali apa yang dirasakan perlu dan hanya hadir mendengar bacaan murid-muridnya dalam keadaan berwuduk. Apabila ditanya tentang hal keadaannya beliau akan hanya menjawab dengan katanya: “sihat” walaupun pernah menderita kesakitan tetapi tidak pernah menzahirkannya. Beliau juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang tinggi selain daripada ingatan yang kuat dan akal yang tajam. Tidak memandang dunia dan takut pada hukum Allah. Walaupun beliau bukan bangsa arab, tetapi pengetahuannya dalam bidang ilmu-ilmu Islam serta bahasa arab cukup dalam dan luas. Beliau juga tidak segan silu berpolitik dalam memastikan hukum Allah tertegak di muka bumi ini.

Hirzu al-Amaani wa Wajhu al-Tahaani adalah antara kitab yang dikarangnya yang memuatkan pelbagai nasihat dan saranan kepada pencinta ilmu qiraat didalam bab muqaddimah antaranya,

وهذا زمان الصبر من لك بالتي * كقبض على جمر فتنجوا من البلا[2]

Maksudnya: Zaman ini zaman yang penuh kesabaran dan sesiapa yang berpegang kepada Islam yang sebenar diibaratkan seperti berpegang pada bara api dan mereka ini akan selamat daripada malapetaka. Berkenaan dengan kitab ini, Al-Tobari meriwayatkan, Imam al-Syatibiy pernah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan Baginda membaca kitab tersebut lalu bersabda “Kitab ini mempunyai keberkatan, barang siapa yang menghafalnya akan dimasukkan ke syurga”.

Beliau meninggal dunia setelah berusia 52 tahun pada hari ahad selepas asar, 28 Jamadil Akhir tahun 590 Hijrah dan dikebumikan pada hari Isnin di atas Jabal Muqattam, Mesir. Begitulah secara ringkasnya sejarah kehidupan Imam al-Syatibiy yang masih ramai tidak mengetahuinya lagi termasuklah pelajar-pelajar dalam bidang qiraat. Imam al-Syatibiy membawa contoh model pendukung ilmu qiraat yang sebenar.

Dalam keadaan beliau yang buta, bukan sahaja hebat dalam bidangnya tetapi sentiasa tegas dalam perkara yang melibatkan hukum Allah. Semoga semua pencinta ilmu qiraat dapat mempersembahkan ilmu ini sepertimana yang dipersembahkan oleh Imam al-Syatibiy bagi mengikis tanggapan bahawa orang qiraat ini hanya tahu membaca al-Qur’an sahaja dan lesu, senyap dan bisu dalam menegakkan kalimah Allah bila balik ke Malaysia nanti . Semoga kekentalan dan semangat tinggi Imam yang pernah bekerja-sama dengan Salahuddin al-Ayubbi ini dapat kita selami dan seterusnya menjadikan ilmu ini sebagai salah satu alternatif dalam mengembalikan masyarakat ke jalan yang benar.

Pengenalan Asas Ilmu Qiraat

KELEBIHAN MEMBACA DAN MENGHAFAZ AL-QURAN

1.Hadis daripada Sayyidina Uthman bin Affan r.a, sesungguhnya Nabi saw bersabda:
خيركم من تعلم القرءان وعلمه.( Hadis riwayat Bukhori, Abu Daud dan Tirmizi )

2. Hadis daripada Abdullah Bin Mas’ud, sesungguhnya Nabi saw bersabda:من قرأ حرفا من كتاب الله تعالى فله حسنة والحسنة بعشر أمثالها، لا أقول الم حرف ولكن الف حرف ولام حرف وميم حرف.( Hadis riwayat Tirmizi )

3. Hadis daripada Abi Said al-Khudri, sesungguhnya Nabi saw bersabda
:من شغله القرءان وذكري عن مسألتي، أعطيته افضل ما أعطي السائلين، وفضل كلام الله تعالى على سائرالكلام كفضل الله على خلقه ( Hadis riwayat Tirmizi )

4. Hadis daripada Anas bin Malik r.a, sesungguhnya Nabi saw bersabda
:إن لله أهلين من الناس، قالو من هم يا رسول الله، قال أهل القرءان هم أهل الله وخاصته
(hadis riwayat An Nasai’)

5. Hadis daripada Mu’az bin Anas, sesungguhnya Nabi saw bersabda
:من قرأ القرءان وعمل بما فيه ألبس الله والديه تاجا يوم القيامة ضوءه أحسن من ضوء الشمس في بيوت الدنيا فما ظنكم بالذي عمل بهذا (hadis riwayat Abu Daud)

KITAB-KITAB ASAS QIRAAT

1. Matan Asy SyatibiMatan ini dikarang oleh Imam Al Qasim bin Firruh bin Khalaf bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Imam Asy Syatibi.. Berasal dari Andalusia, Sepanyol. Wafat pada tahun 590 hijrah. Beliau menjadikan kitab tahbir at-taisir sebagai sumber karangan beliau.

2. Matan Al JazariMatan ini dikarang oleh Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusuf atau lebih dikenali sebagai Imam Al Jazari. Dilahirkan pada tahun 751 hijrah dan wafat pada tahun 833 hijrah. Berasal dari Damsyiq. Antara kitab-kitab yang menjadi sumber dalam menulis matan beliau ini ialah kitab taisir, kitab nasyrul Asyri dan kitab toyyibah.

SYARAT DITERIMA SEBAGAI QIRAAT YANG SAHIH/RUKUN QIRAAT.

1. Mestilah qiraat itu tidak bercanggah dengan bahasa Arab.
2. Mestilah qiraat itu tidak bercanggah dengan resam uthmani.
3. Mestilah sanad qiraat itu mutawatir iaitu rawi yang meriwayatkan qiraat tersebut satu jamaah yang ramai dimana mustahil mereka itu berpakat dalam melakukan penipuan .

DALIL TURUNNYA AL-QURAN DENGAN 7 ‘AHRUF’.Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawasanya Nabi saw bersabda,
أقرأني جبريل عليه السلام على حرف واحد فراجعته، فلم أزل أستزيده ويزيدني حتى انتهى إلى سبعة احرف.
( Hadis riwayat Bukhori )

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Syihab bahawa beliau diberitakan oleh Urwah bin Zubair bahawa Maswara bin Makhramah dan Abdul Rahman bin Abdul Qari mendengar Umar bin Khattab r.a berkata
,سمعت هشام بن حكيم يقرأ سورة الفرقان في حياة رسول الله صلى الله عليه وسلم، فاستمعت لقراءته، فاذا هو
يقرأ على حروف كثيرة لم يقرأني رسول الله صلى الله عليه وسلم، فكدت اساوره فى الصلاة فتصبرت حتى سلم، فلببته بردائه فقلت من اقرأك هذه السورة التى سمعتك تقرأ قالاقرأني رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقلت كذبت، فإن رسول الله صلى الله عليه وسلم قد أقرأنيها على غير ما قرأت، فانطلقت بقود إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقلت سمعت هذا يقرأ سورة الفرقان على حروف لم تقرأنيها، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم لعمر ارسله، فأرسله عمر، فقال لهشام اقرأ يا هشام، فقرأ عليه القراءة التى سمعته يقرأ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم كذلك أنزلت،.ثم قال اقرأ يا عمر فقرأت القرأة التى أقرأني، فقال كذلك أنزلت، ان هذا القرءان أنزل على سبعة أحرف فاقرأوا ما تيسر منه( hadis riwayat Bukhori )

MAKSUD 7 ‘AHRUF’.

Tidak ada hadis secara jelas yang menceritakan tentang apakah yang dimaksudkan dengan 7 ahruf. Namun ulamak samada yang salaf mahupun yang khalaf secara sepakat menyatakan bahawa tidak boleh seseorang itu menafsirkan bahawa 7 ahruf itu adalah 7 qura’ yang masyhur kerana 7 qura’ yang masyhur ini tidak pernah wujud pun pada zaman Rasulullah saw
.التكليف بما لا يطاق محال Sayyidina Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Abbas berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan 7 ahruf ialah :أن القرءان نزل بلغة كل حي من إحياء العرب

QIRAAT SAB’AH DAN QIRAAT ‘ASYARAH

Qiraat 7 (sab’ah) mahupun qiraat 10 (‘asyarah), ianya tetap tidak lari daripada 7 ahruf sebagaimana ia diturunkan. Kesemuanya mutawatir daripada Rasulullah SAW. Ini bermakna, Rasulullah SAW membaca dengan kesemua qiraat ini. Qiraat 7 dikupas dan dijelaskan oleh Imam al-Syatibi.

Imam al-Jazari pula mengupas dan menyusunnya sehingga 10 qiraat. Tetapi, ini tidaklah bermakna Imam al-Jazari telah melakukan penambahan kepada ilmu ini sehingga menjadi 10. Tetapi berkemungkinan, Imam as-Syatibi pada zamannya hanya sempat mengumpul dan menyusunnya sehingga 7 sahaja. Setelah itu, pengumpulan dan pengkajian diteruskan oleh Imam al-Jazari sehingga lengkap menjadi 10 qiraat.Kesemua 10 qiraat Imam al-Jazari dikenali dengan al-Qiraat al-‘Asyarah al-Kubro. Tetapi jika 7 qiraat Imam al-Syatibi digabungkan dengan 3 lagi qiraat Imam al-Jazari maka ia dikenali dengan al-Qiraat al-‘Asyarah al-Soughro.

PENGENALAN RINGKAS 10 IMAM QIRAAT

1. Imam Nafi’
Namanya Abu Ruaim Nafi’ bin Abdul Rahman bin Abi Nuaim Al Laithi. Berasal dari Asfahan. Merupakan imam Darul Hijrah. Wafat pada 169 hijrah. Rawinya yang terkenal iaitu Qalun dan Warsh.

2. Imam Ibnu Kathir
Namanya Abdullah bin Kathir Al makki. Merupakan imam ahli Mekah. Dilahirkan pada 45 hijrah dan wafat pada 120 hijrah. Rawinya yang terkenal iaitu Bazzi dan Qunbul.

3. Imam Abu Amru
Namanya Zaban bin Ala’ bin Ammar bin ‘Uryan Al Maazini Al Tamimi Al Basri. Dilahirkan di Mekah pada tahun 68 hijrah dan wafat pada 154 hijrah di Kufah. Rawinya yang terkenal iaitu Duri dan Susi.

4. Imam Ibnu Amir Asy Syami
Namanya Abdullah bin Amir Asy Syami Al Yahsobi. Merupakan qadhi di Damsyiq ketika Khilafah Al Walid bin Abdul Malik. Diberi gelaran Aba Amru. Beliau adalah seorang tabiin. Dilahirkan pada 8 hijrah dan wafat pada 118 hijrah. Rawinya yang terkenal iaitu Hisyam dan Ibn Zakwan.

5. Imam Asim
Namanya Asim bin Abi An Najud Al Asadi. Digelar sebagai Aba Bakar. Merupakan seorang tabiin dan beliau adalah seorang ketua qura’ di Kufah. Terkenal sebagai seorang yang mempunyai suara yang paling lunak.Wafat pada 127 hijrah. Rawinya yang terkenal iaitu Syu’bah dan Hafs.

6. Imam Hamzah
Namanya Hamzah bin Habib bin Ammarah Az Zayyat. Digelar Aba Ammarah. Dilahirkan pada tahun 80 hijrah. Beliau adalah seorang peniaga, seorang ahli ibadah dan seorang yang wara’.Wafat pada 156 hijrah pada zaman khilafah Abi Ja’far Al Mansur. Rawinya yang terkenal iaitu Kholaf dan Kholad.

7. Imam Kisai’
Namanya Ali bin Hamzah An Nahwi. Digelar sebagai Aba Hasan. Diberi kunyah sebagai kisai’ kerana beliau dibesarkan di satu tempat bernm kusa’. Wafat pada 198 hijrah. Rawinya yang terkenal iaitu Abu Haris dn Duri.

8. Imam Abu Jaafar
Namanya Yazid bin Qa’qa’ Al Makhzumi Al Madani. Diberi kuniah sebagai Abu Jafaar. Beliau adalah seorang tabiin.Wafat pada 130 hijrah. Rawinya yang terkenal iaitu Ibn Jammaz dan Ibn Wirdan.

9. Imam Ya’aqub
Namanya Yaaqub bin Ishaq bin Yazid bin Abdullah bin Abi Ishaq Al Hadhrami Al Basri. Kuniahnya Abu Muhammad.Wafat pada tahun 205 hijrah ketika berumur 88 tahun. Rawinya yang terkenal iaitu Ruais dan Rauh.

10. Imam Kholaf Al Asyir.
Namanya Kholaf bin Hisyam bin Tha’lab bin Kholaf Al Asadi Al Baghdadi Al Bazzar. Digelar sebagai Abu Muhammad. Dilahirkan pada tahun 150 hijrah dan wafat pada bulan jamadil akhir tahun 229 hijrah di Baghdad. Rawinya yang terkenal iaitu Ishaq dan Idris.

IMAM NAFI’Nama : Nafi’ bin Abd Rahman bin Abu Na’im.Kuniah : Abu Ruwaim, Abu Al-Hasan, Abu Abd Rahman.Lahir pada : tahun 70 hijrahWafat pada : tahun 169 hijrah ketika berusia 99 tahun.Asal : Asbahan.Ciri-ciri : berkulit gelap, tampan, baik rupa paras, mesra dengan org ramai.Bertalaqqi dengan lebih dari 70 orang guru dari kalangan tabi’in. Antaranya:نافعأبو جعفرعبد الله ابن عباس و أبو هريرةأبي بن كعب و زيد بن ثابترسول الله صلى الله عليه وسلم

Keistimewaan-keistimewaan lain :

Solat di masjid Rasulullah lebih 60 tahun dan menjadi imam di situ.Mengajar al-Quran dan al-Qiraat selama lebih 70 tahun.Apabila bercakap pasti akan terhidu bau kasturi walaupun beliau tidak pernah memakai sebarang haruman/wangian.Bertalaqqi dengan Rasulullah dalam mimpinya.Mempunyai anak murid yang tidak terkira ramainya. Antara yang bertalaqqi dengannya adalah Imam Malik bin Anas dan al-Laith bin Saad.Perawinya yang termasyhur adalah Isa bin Mina bin Wardan (Qalun) dan Uthman bin Sa’id bin Abdullah (Warsy).Berikut adalah beberapa manhaj asas untuk Qiraat Imam Nafi’

:قالونورشقصر المد المنفصل مع التوسط والإشباعإشباع المدينضم ميم الجمع بعده متحرك مع الصلةضم ميم الجمع بعده همزة القطع مع الصلةفتح الاءات الإضافة بعدها همزة المتحركةتغليظ اللام بعده الصاد والطاء المتحركتين.

AL-FATIHAH DENGAN 10 QIRAATملك - Nafi’, Ibn Kathir, Abu Amru, Ibn Amir, Hamzah, Abu Jaafar.مالك – Asim, Kisai’, Yaaqub, Kholaf 10.الصراط ، صراط – Nafi’, Ibn kathir bil khilaf oleh Qunbul, Abu amru, Ibn Amir, Asim, Kisai’, Abu Jaafar, Rauh ‘an Yaaqub, Kholaf 10.السراط ، سراط – Qunbul ‘an Ibn Kathir wajah ke 2, Ruais ‘an Yaaqubالزراط، زراط - Kholaf ‘an Hamzah.الزراط، صراط – Kholad ‘an Hamzahعليهم - Nafi’ bil khilaf oleh Qalun, Abu Amru, Ibn Amir, Asim, Kisai’, Kholaf 10.عليهم – Hamzah, Yaaqubعليهموا - 'an Nafi’ wajah ke 2, Ibn Kathir, Abu Jaafar.

ADAB-ADAB MEMBACA DAN MENGHAFAZ AL-QURAN

Sukalah untuk saya selitkan di sini beberapa tips yang mungkin dapat membantu para pembaca untuk menghafaz al-Quran. Sesungguhnya al-Quran bukanlah sepertimana buku-buku biasa yang kita baca setiap hari. Namun ia adalah sebuah kitab agung yang terkandung di dalamnya kalam-kalam suci Allah. Kerana itu, menyentuhnya bukan seperti menyentuh kitab-kitab lain dan membacanya bukan seperti membaca kitab-kitab lain.

Ada adab-adab yang perlu dijaga bagi menunjukkan kehormatan dan kesuciannya.

Berwudhu’Menutup auratMenghadap kiblat Ikhlaskan niat kerana Allah.Mulakan dengan isti’azah dan basmalah.Baca dengan tenang sambil mentadabbur ayat-ayatnya.Elakkan daripada bercakap-cakap perkara lain ketika masih belum menamatkan bacaan.Jika menggunakan mashaf; kecil mahupun besar, pastikan ianya diletakkan lebih tinggi daripada kaki. Sebaiknya peganglah dengan tangan kanan.Berikut dijelaskan pula beberapa tips mudah untuk menghafaz al-Quran:Ikhlaskan niat kerana Allah SWT.Berwudhuk dan menghadap kiblat.

Mulakan dengan doa menghafaz :
اللهم نوربكتابك بصري واشرح به صدري واستعمل به بدني واطلق به لساني وقو به عزمي واسرع به فهمي وقو به جناني بحولك وقوتك فإنه لا حول ولا قوة إلا بالله العلى العظيم

Tetapkan sasaran bilangan ayat yang ingin dihafaz pada hari tersebut.Baca kesemua ayat yang ingin dihafaz pada hari tersebut sekali lalu.Baca ayat yang pertama dengan melihat mashaf sebanyak 40 kali.Beralih ke ayat yang kedua dengan menggunakan kaedah yang sama.

Ulang ayat pertama dan kedua sebanyak 5 kali.Beralih ke ayat yang ketiga dengan membacanya sebanyak 40 kali.

Ulang ayat pertama, kedua dan ketiga sebanyak 5 kali.Beralih ke ayat yang keempat dan gunakan kaedah yang sama sehingga selesai.

Akhiri dengan doa penutup
:اللهم إني أستودعك ما علمتني فاردده إلي وقت حاجتي إليه فلا تنسنيه , وصلى الله على سيدنا
محمد وعلى ءاله وصحبه وسلم

Jauhkan perkara-perkara yang boleh merosakkan hafazan.

PENUTUP

Ilmu Qiraat ini tidak mungkin dapat kita dalami dalam masa yang singkat. Hanya pembelajaran yang tekun dan berterusan sahaja memungkinkan kita menguasainya. Qiraat tidak cukup dengan mengenali dan mempelajarinya secara teori semata-mata tetapi lebih jauh daripada itu perlu ada satu latihan praktikal yang intensif bagi memastikan ketepatan dan keberkesanannya.

Tidak semua dapat dijelaskan di sini. Apapun saya mengharapkan semoga kertas kecil ini dapat sedikit sebanyak membantu sahabat-sahabat mengenali al-Quran dan al-Qiraat walaupun ianya terlalu ringkas dan penuh dengan kekurangan. Apapun, semoga ianya menjadi titik tolak untuk pada sahabat lebih mendekati dan mendalami ilmu yang sangat penting ini. Sebarang teguran dan komen terhadap apa jua kesilapan amatlah saya harapkan.Wallahu ‘alam.

Taujih Fiqhi Dalam Disiplin Ilmu Qiraat

SIRI PERTAMA

Muqaddimah
Pada permulaan wahyu, Nabi SAW amat menitikberatkan ajaran al-Quran. Para sahabat diberi galakan oleh baginda untuk membaca dan menghafaz ayat al-Quran sehingga melahirkan sejumlah generasi intelektual dan memadamkan buta huruf setelah diselubungi kegelapan jahiliah. Period dakwah di Makkah merupakan marhalah pembentukan aqidah, akhlak dan ruh. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah Al-I’jaz” yang melemahkan bangsa Arab daripada menolak ajaran al-Quran serta membuktikan kebenaran risalah nubuwwah.
Al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf ( الأحرف السبعة ) memberi kemudahan kepada umat Islam untuk membaca dan mengamalkan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Penurunan al-Quran dengan tujuh huruf ini bermula pada period dakwah baginda di Madinah setelah dakwah Nabi SAW semakin meluas ke seluruh tanah Arab. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah At-Tashil” yang membantu umat Arab mengenali al-Quran dan menghayatinya mengikut lahjah kabilah masing-masing.
Hasil galakan dan panduan daripada Nabi SAW, generasi sahabat sangat tekun mendalami al-Quran dengan seluruh wajah qiraat yang diturunkan. Setelah kewafatan baginda, para sahabat telah bertebaran di seluruh Semenanjung Tanah Arab sehingga melahirkan beberapa madrasah qiraat seperti Madani, Makki, Syami, Kufi dan Basri. Kemudian datang generasi selepasnya sehingga melahirkan tokoh-tokoh yang masyhur dalam bidang ini antaranya ialah sepuluh imam qurra’.
Setelah zaman berzaman ilmu qiraat semakin berkembang dengan kelahiran tokoh-tokoh dalam bidang ini seperti Imam as-Syatibi (wafat 590H), Imam Ibnu al-Jazari (wafat 833H) dan lain-lain. Para ulama juga telah membahaskan ilmu qiraat dalam pelbagai sudut untuk menambahkan kefahaman terhadap al-Quran seperti sejarah ilmu qiraat, taujih al-Qiraat al-Mutawatirah, taujih al-Qiraat as-Syazzah.


Apa Hikmah Khilaf Bacaan Qiraat ?

Selaku pelajar takhassus al-Quran, al-Qiraat serta ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, persoalan yang sering bermain di minda kita ialah apakah hikmah daripada perbezaan bacaan qiraat sedangkan sumbernya adalah satu iaitu al-Quran? Kenapa qiraat-qiraat ini ditulis dengan hanya satu wajah sahaja di dalam setiap mushaf? Apakah kesan atau peranan bacaan qiraat ini terhadap bahasa Arab samada sudut qawaid dan balaghahnya. Adakah bacaan qiraat ini memberi kesan langsung ke atas syariat seperti feqh dan aqidah?

Sebenarnya para ulama’ baik dahulu dan masa kini telah menulis berkenaan hikmah qiraat mutawatir dan kesannya terhadap rasm, bahasa Arab, fiqh. Cuma ianya ditulis secara umum ketika membahaskan ilmu-ilmu seperti bahasa Arab, tafsir, fiqh dengan membawa nas dari qiraat al-Quran sebagai dalil. Sangat sedikit kajian yang memfokuskan kesan bacaan qiraat terhadap bahasa Arab, fiqh dan sebagainya secara lebih kompleks dan menyeluruh. Apatah lagi jika kita ingin mendapatkan kajian dalam perkara ini yang diolah secara mudah, ringkas dan padat yang sesuai untuk tahap orang awam. Sedangkan kajian ini sangat penting bagi setiap muslim dalam aspek apa yang mesti mereka tahu berkenaan mushaf al-Quran dan bacaan al-Quran harian mereka yang mana mengandungi asas-asas tasyri’ dan hukum-hakam.

Taujih Fiqhi

Asas dalam memahami ilmu qiraat ini hingga dapat merasakan kemanisan al-Quran adalah mengetahui taujih dan kedudukan i’rab. Oleh kerana itu , para ulama’ telah berusaha mengkaji perkara ini dan menerangkan ‘illah dan makna-makna serta kesan yang terdiri dari aspek bahasa, fiqh, aqidah dan lain-lain. Maka lahirlah ulama’ yang membahas dari sudut taujih lughawi, balaghi, fiqhi, aqidi dan sebagainya. Semuanya merupakan sebahagian daripada i’jaz al-Quran.
Kali ini kita akan fokuskan kepada salah satu taujih qiraat iaitu taujih fiqhi yang merupakan sudut yang sangat penting di samping taujih lughawi dan lain-lain. Sebelum itu penulis akan menerangkan latar belakang hubungan antara qiraat dan tasyri’ Islami serta manhaj fuqaha’ ketika berhujah dengan qiraat.
Hubungan Antara Ilmu Qiraat Dan Fiqh Islam
Sesuatu yang diketahui umum bahawa ilmu-ilmu Islam saling berkaitan antara satu sama lain. Di antara ilmu-ilmu ini ialah ilmu qiraat dan fiqh Islam. Di sana terdapat hubungan yang sangat kuat antara ilmu qiraat dan ilmu fiqh. Hubungan antara dua disiplin ilmu ini dapat dilihat jika kita meneliti dan mentelaah sebahagian kitab-kitab tafsir yang lebih menjurus dalam perbahasan fiqh. Sebagai contohnya ialah al-Jami’ Li Ahkam al-Quran oleh Imam al-Qurthubi, Ahkam al-Quran oleh Ibnu al-`Arabi, Ahkam al-Quran oleh al-Jassos al-Hanafi dan Zaad al-Masiir Fi `Ilmi at-Tafsir oleh Imam al-Jauzi.
Kita akan dapati di dalam kitab-kitab ini para imam akan mendatangkan wajah-wajah qiraat ke atas ayat-ayat yang ingin diterangkan hukum-hukumnya kemudian akan menyandarkan pendapat fuqaha’ yang bersesuaian dengan khilaf atau wajah qiraat tersebut. Bahkan imam-imam tafsir yang lain juga melakukan perkara yang sama dalam hal ini seperti Imam al-Alusi dalam kitabnya Ruuh al-Ma`ani, Imam al-Baidhawi, Imam al-Fahr ar-Razi dan lain-lain.
Bacaan-bacaan qiraat ini juga disebut di dalam sebahagian kitab-kitab fiqh dan usul fiqh. Antaranya ialah Hasyiah al-Bujairimi `Ala al-Khatib dalam fiqh Syafi`i, Mafatiih al-Usul, Syarh al-Fiqh al-Akbar oleh al-Qari dan lain-lain. Bahkan sebenarnya hubungan antara ahli al-Ada’ (qurra’) dan fuqaha’ dapat diibaratkan sebagai hubungan adik-beradik yang sangat rapat, di mana ahli al-Ada’ atau qurra’ berperanan dalam mendhabitkan bacaan qiraat yang mutawatir serta menerangkan kaedah bacaan. Fuqaha’ pula berperanan dalam mengistinbat hukum-hukum yang bersesuaian dengan bacaan qiraat tadi untuk dijadikan dalil-dalil ke atas hukum syara’ serta mengistibat apa yang terdapat di dalam bacaan qiraat dari sudut fiqhiah.
Oleh itu, khilaf dalam bacaan qiraat memberi impak yang besar terhadap ilmu fiqh. Imam an-Nuwairi dalam kitabnya Syarh Toyyibah an-Nasyr menyatakan bahawa seorang faqih berhajat kepada qari, begitu juga sebaliknya seorang qari berhajat kepada faqih untuk mentaujihkan bacaan qiraatnya dan menerangkan hukum yang terhasil daripada khilaf qiraat tersebut. Ini semua menunjukkan kepada kita tentang hubungan yang saling berkaitan antara ilmu fiqh dan ilmu qiraat serta hubungan antara fuqaha’ dan qurra’.
Manhaj Fuqaha’ Ketika Berhujah Dengan Ilmu Qiraat
Sudah menjadi suatu yang thabit, bahawa semua bacaan qiraat al-Quran diturunkan oleh Allah kepada Nabi SAW dan ianya sampai kepada kita dengan jalan yang mutawatir. Semua ini menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan dengan tujuh huruf ( الأحرف السبعة ). Setiap bacaan qiraat yang mutawatir tidak boleh dipertikai kesahihannya dan ia menjadi hujah dalam mengistinbatkan hukum-hukum. Walaupun di sana terdapat ayat yang tidak mempunyai khilaf qiraat dan ada yang mengandungi khilaf, ianya tidak boleh disangsikan kebenarannya kerana setiap apa yang sahih secara mutawatir dari Nabi SAW maka wajib menerima, beriman dengannya dan mengikuti (ittiba’) setiap apa yang terkandung di dalamnya samada ia bersifat i’tiqad atau pun amalan.
Oleh yang demikian, kita dapat melihat para ulama mengistinbat hukum-hukum daripada setiap qiraat yang terdapat di dalam setiap ayat. Maka jelas kepada kita bahawa qiraat menjadi hujah dan panduan fuqaha’ dalam mengistinbat hukum.
Apabila kita dapati terdapat lebih dari satu hukum yang datang daripada khilaf qiraat, maka kita hendaklah menerima kesemuanya sekali tanpa meninggalkan satu pun hukum yang terhasil daripada mana-mana qiraat. Kita juga tidak boleh menjadikan jumlah imam yang meriwayatkan sesuatu qiraat sebagai sebab untuk kita mentarjih mana-mana qiraat.
Terdapat dua keadaan di mana para fuqaha’ berbeza pendekatan mereka dalam mengistinbatkan hukum;


Pertama: Ayat yang mengandungi dua bacaan qiraat yang berlainan tetapi membawa hukum yang sama.
Dalam hal ini, para fuqaha’ mengambil jalan dengan menggabungkan kedua-dua bacaan qiraat tadi. Antaranya ialah terdapat qiraat yang berbeza wajah dilalahnya tetapi mengandungi hukum yang sama.
Contohnya pada kalimah ( تقاتلوهم ، يقاتلوكم ، قاتلوكم )di dalam ayat 191 Surah al-Baqarah terdapat dua bacaan qiraat yang mana hukumnya adalah sama tetapi wajah dilalahnya berlainan. Wajah dilalah yang pertama menunjukkan secara jelas akan nas ayat, manakala wajah dilalah yang kedua menunjukkan kepada isyarat atau peringatan ( الإشارة والتنبيه ).
1) Bacaan pertama yang diriwayatkan oleh Imam Hamzah, al-Kisa`ie dan Khalaf al-`Asyir; dengan menghazafkan huruf alif pada kalimah ( تقتلوهم ، يقتلوكم ، قتلوكم ) membawa maksud larangan membunuh ( القتل ).
2) Bacaan kedua pula diriwayatkan oleh Imam Nafi’, Ibnu Kathir, Abu `Amr, Ibnu `Amir, `Asim, Abu Ja`far dan Ya`qub al-Hadrami; dengan mengisbatkan huruf alif pada kalimah ( تقاتلوهم ، يقاتلوكم ، قاتلوكم ) membawa maksud isyarat atau peringatan agar menghidari perkara-perkara yang boleh membawa kepada pembunuhan ( القتال ) atas wazan al-mufa`alah yang mengandungi uslub mubalaghah.
Kedua-dua bacaan qiraat ini tetap membawa kepada hukum haram membunuh tanpa hak melainkan wajah kedua hanya menunjukkan uslub mubalaghah di mana jika unsur-unsur yang boleh membawa kepada membunuh (muqaddimah al-Qatl) hukumnya haram, apatah lagi hukum membunuh itu sendiri.

Kedua: Ayat yang mengandungi dua atau lebih bacaan qiraat yang berlainan dan membawa kepada dua atau lebih hukum yang berlainan antara satu sama lain.
Dalam keadaan ini, para ulama atau fuqaha’ mempunyai pendekatan yang berbeza.

Pendapat jumhur fuqaha’:
Jumhur ulama’ menyatakan wajib beramal dengan kedua-dua qiraat tersebut walaupun setiap qiraat membawa hukum yang berlainan. Tidak boleh menolak salah satu bacaan qiraat hanya disebabkan hukum yang berbeza kerana ia beerti menolak sebahagian al-Quran yang jelas thabit mutawatirnya. Bagi mereka, perbezaan dua qiraat di dalam satu ayat membawa maksud dua ayat. Dengan kata lain, sekiranya satu ayat mengandungi 3 qiraat, ini bermaksud ayat itu sebenarnya mengandungi 3 ayat yang berlainan, maka mereka akan menggabungkan qiraat-qiraat ini.
Imam az-Zarkasyi (wafat 794H) dalam kitabnya al-Burhan Fi Ulum al-Quran menyatakan para ulama’ lebih cenderung bahawa dua qiraat seperti dua ayat. Contohnya kalimah ( وأرجلكم ) di dalam ayat 6 Surah al-Maidah boleh dibaca dengan dua keadaan:
1) Bacaan secara al-Jarr ( وأرجلكم ) oleh Imam Ibnu Kathir, Abu `Amr, Syu’bah, Abu Ja`far, Hamzah dan Khalaf al-`Asyir. Bacaan ini membawa hukum memadai dengan menyapu air di atas khuf bagi yang memakainya ketika berwudhu’.
2) Bacaan secara al-Nasb ( وأرجلكم ) oleh Imam Ibnu `Amir, Nafi`, al-Kisa’ei, Hafs dan Ya`qub al-Hadhrami. Bacaan ini menerang hukum wajib membasuh kaki jika tidak memakai khuf ketika berwudhu’
Ayat di atas berkisar tentang hukum membasuh kaki ketika berwudhu’. Para ulama’ telah menggabungkan dua qiraat tersebut. Hukum wajib tetap sama melainkan kaifiat sahaja yang berbeza samada membasuh atau menyapu.
Imam as-Syaukani (wafat 1250H) di dalam Fath al-Qadiir juga menyokong pandangan bahawa dua qiraat seolah-olah bermaksud dua ayat.
Pendapat mazhab Hanafi:
Abu al-Hassan al-Kurkhi (wafat 340H) dan muridnya Abu Bakr al-Jassos (wafat 370H) yang merupakan dua tokoh besar mazhab Hanafi mempunyai pandangan yang berbeza daripada pandangan jumhur. Mereka menolak pandangan bahawa dua qiraat bermakna dua ayat. Abu al-Hasan al-Kurkhi berpandangan sekiranya demikian, maka perlu ditulis setiap wajah qiraat di setiap mushaf dan membacanya dengan semua khilaf yang ada. Sekiranya memilih untuk menulis dan membaca salah satu daripada qiraat-qiraat ini, ia beerti telah mengurangi sebahagian dari al-Quran. Sedangkan al-Quran tidak boleh dikurangi sedikit pun akan hak-haknya. Sedangkan penulisan mushaf al-Quran hanya meletakan satu wajah dalam setiap mushaf. Ini membuktikan dua qiraat tidak bermaksud dua ayat.
Abu Bakar al-Jassos juga mengambil pendekatan yang hampir sama dengan gurunya itu iaitu menolak pandangan jumhur. Beliau menyatakan walaupun perbezaan antara dua qiraat pada satu ayat membawa erti adanya dua ayat di situ, tetapi ayat yang pertama itu adalah muhkamat dan ayat yang kedua pula mutasyabihat. Ayat muhkamat di sisi beliau ialah bacaan qiraat yang hanya mengandungi satu makna. Manakala ayat mutasyabihat pula ialah qiraat yang mengandungi dua makna. Maka wajib meletakkan atau mendahulukan ayat yang muhkamat ke atas ayat mutasyabihat. Ini dapat dilihat apabila beliau mentatbiqkan manhajnya di dalan kitab tafsirnya Ahkam al-Quran.
Contohnya, terdapat dua bacaan qiraat pada kalimah ( لامستم ) di dalam ayat 43 Surah an-Nisa’:
1) Bacaan secara isbat alif ( لامستم ) oleh Imam Nafi`, Ibnu Kathir, Abu `Amr, Ibnu `Amir, `Asim, Abu Ja`far dan Ya`qub. Bacaan ini hanya membawa makna ( الملامسة ) iaitu kinayah kepada jima’.
2) Bacaan secara hazaf alif ( لمستم ) oleh Imam Hamzah, al-Kisa’ei dan Khalaf al-`Asyir. Bacaan ini pula membawa makna ( اللمس ) iaitu mengandungi dua makna; sentuhan tangan atau jima’.
Beliau berpandangan mesti meletakkan ayat yang hanya mengandungi satu makna ke atas ayat yang mengandungi dua makna. Ayat yang mengandungi satu makna merupakan ayat muhkamat, manakala ayat yang mengandungi dua makna merupakan ayat mutsyabihat. Beliau menguatkan hujah bahawa Allah SWT telah memerintahkan agar meletakkan ayat muhkamat ke atas ayat mutsyabihat seperti dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Ali `Imran ayat 7.
Oleh itu, bagi beliau bacaan qiraat ( لامستم ) merupakan ayat muhkamat yang mesti diletakkan ke atas bacaan qiraat ( لمستم ) yang merupakan ayat mutsyabihat.
Pada siri yang akan datang penulis akan membawa beberapa contoh ayat al-Quran untuk meneliti serta melihat peranan yang dimainkan oleh qurra’ dalam membantu fuqaha’ menetapkan sesuatu hukum berdasarkan perbezaan pada bacaan qiraat.
والله تعالى أعلى وأعلم
Sumber rujukan:
1) Al-Quran
2) Muhadharat Fi Taujih al-Qiraat; Dr Abdul Karim Ibrahim Soleh. Pensyarah Tafsir Kuliah Al-Quran & Al-Qiraat Al-Azhar; Nota Kuliah Tahun Satu.Al-Quran & Al-Qiraat.
3) Al-Qiraat al-Mutawatirah Wa Astruha Fi ar-Rasm al-Qurani Wa al-Ahkam as-Syar`iah; Dr. Muhammad al-Habsy; Darul Fikr Beirut.
4) At-Taujih al-Balaghi Li al-Qiraat al-Quraniah; Dr Ahmad Sa`ad Muhammad; Maktabah al-Adab Kaherah.
5) Al-Ahruf as-Sab`ah Wa al-Qiraat as-Sab`; Ummu Habibah; Maktabah Aulad as-Syeikh Kaherah
6) Tarikh Ilmi al-Qiraat; Dr Sami Abdul Fatah Hilal; Wakil Kuliah Al-Quran & Al-Qirat Al-Azhar; Nota Kuliah Tahun Satu Al-Quran & Al-Qiraat.

Taujih Fiqhi Siri 2

HUKUM WUDHU' BAGI YANG MENYENTUH PEREMPUAN
MUQADDIMAH


Dalam siri sebelum ini, secara ringkas para pembaca telah diterangkan berkenaan salah satu bentuk dalam disiplin ilmu taujih qiraat iaitu taujih fiqhi. Para pembaca juga dapat melihat secara umum berkenaan hubungan antara ilmu qiraat dan fiqh Islam serta manhaj fuqaha' ketika berhujah dengan ilmu qiraat. Pada kali ini penulis cuba membawa ke hadapan para pembaca contoh perbezaan qiraat pada ayat al-Quran yang menjadi dalil kepada para ulama fiqh bagi menetapkan atau mensabitkan mazhab mereka terhadap sesuatu hukum.

HUKUM WUDHU' BAGI YANG MENYENTUH PEREMPUAN
Para ulama fiqh telah berselisih pendapat berkenaan hukum wudhu' bagi lelaki yang menyentuh perempuan. Perbezaan ini berpunca daripada perbezaan qiraat yang terdapat pada kalimah ( لامَسْتُم ) pada ayat 43 Surah al-Nisaa serta ayat 6 Surah al-Maidah. Nas di dalam Surah al-Nisaa ialah;


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلا جُنُبًا إِلا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

BACAAN QIRAAT

Bacaan pertama yang diriwayatkan oleh jumhur qurra' iaitu Imam Nafi, Ibnu Kathir, Abu `Amr, Ibnu `Amir, `Asim, Abu Ja'far dan Ya`qub al-Hadhrami; dengan mengisbatkan alif ( لامَسْتُم ).
Bacaan kedua yang diriwayatkan oleh Imam Hamzah, al-Kisa'ei dan Khalaf al-`Asyir; dengan menghazafkan alif ( لمَسْتُم ).


MAKNA DI SEBALIK PERBEZAAN QIRAAT

Bacaan pertama dengan isbat alif ( لامَسْتُم ) membawa maksud al-Mulamasah mengikut wazan al-Mufa`alah yang memberi makna kinayah atau sindiran kepada makna jima' di mana ia menunjukkan perbuatan ini saling berlaku antara dua pihak. Kita akan dapat melihat uslub kinayah ini di dalam al-Quran khasnya apabila menerangkan perihal hubungan suami isteri seperti ayat 223 Surah al-Baqarah. Di sini al-Quran memperlihatkan kepada kita ketinggian akhlak dan adab yang baik. Imam al-Alusi dalam tafsirnya Ruuh al-Ma`ani telah menakalkan kalam Ibnu `Abbas sebagai berkata; Sesungguhnya Allah Maha Mulia telah mengkinayahkan berkenaan jima' dengan kalimah .( االرفث ، الملامسة المباشرة ، التغشي ، الإفضاء )

Adapun bacaan kedua dengan membuang alif ( لمَسْتُم ), ia mengandungi dua makna. Pertama; segala jenis sentuhan melainkan jima' seperti memegang, meraba, mencium dan lain-lain yang seerti dengannya. Kedua; ia juga memberi makna jima'.

KESAN PERBEZAAN QIRAAT TERHADAP FIQH

Telah berlaku khilaf di kalangan fuqaha' berkenaan hukum wudhu' adakah ianya terbatal sekiranya menyentuh kulit perempuan. Punca perselisihan ini adalah daripada perbezaan bacaan qiraat mutawatir pada ayat di atas. Berikut secara ringkas pandangan ulama dalam hal ini;

1) Pandangan Imam Abu Hanifah

Di sisi beliau, perbuatan lelaki menyentuh perempuan tidak sekali-kali membatalkan wudhu' sama ada sentuhan itu disertai dengan syahwat atau pun tidak dan sama ada sentuhan itu terhadap perempuan ajnabi atau pun mahram.

2) Pandangan Imam Malik dan Imam Ahmad

Di sisi mereka pula, sentuhan lelaki terhadap perempuan akan membatalkan wudhu' sekiranya sentuhan itu disertai syahwat. Sekiranya sentuhan itu tidak mengandungi syahwat maka ia tidak membatalkan wudhu'.

3) Pandangan Imam as-Syafi`ei

Di sisi beliau pula, sentuhan lelaki terhadap perempuan tanpa berlapik akan membatalkan wudhu' tanpa mengira ia disertai syahwat atau pun tidak. Akan tetapi hukum ini terkecuali sentuhan kepada mahram.
ASAS KHILAF DI KALANGAN FUQAHA'


Perselisihan pendapat di kalangan fuqaha berdasarkan bacaan qiraat pada kalimah ( لامَسْتُم ) dapat dilihat daripada beberapa aspek seperti berikut;

1) Aspek perbezaan qiraat mutawatir pada kalimah ( لامَسْتُم ) itu sendiri.
Terdapat 2 bacaan qiraat pada kalimah ini iaitu; qasr dan mad atau dengan istilah lain; hazaf dan isbat.
Bacaan secara qasr atau hazaf memberi makna bahawa sentuhan samada tangan, sentuhan kulit atau ciuman akan membatalkan wudhu'. Sentuhan ini juga hanya berlaku dari satu pihak.
Bacaan secara mad atau isbat pula memberi makna jima' kerana ia disifatkan sebagai perbuatan saling sentuh menyentuh antara dua pihak. Oleh itu, perbuatan selain jima' yang bersifat sentuhan tidak akan membatalkan wudhu' selagi mana tidak keluar air mani yang mewajibkan mandi dan wudhu'.


(اللمس ) 2) Aspek " Isytirak Lafzi " pada makna
Makna hakikat bagi ( al-Lams ) ialah perbuatan melekapkan tangan pada sesuatu dengan tujuan menyentuh. Adapun makna kinayah bagi kalimah ini pula ialah jima'. Seperti mana yang telah dijelaskan sebelum ini, uslub kinayah ini merupakan di antara sekian banyak uslub al-Quran yang memperlihatkan adab dan akhlak khasnya apabila memperkatakan sesuatu yang ada hubungkait dengan perempuan.


Oleh itu, al-Quran tidak secara terang-terangan menggunakan lafaz jima' tetapi memadai dengan lafaz ( al-Lams ) ini. Bahkan realiti bangsa Arab sering menggunakan uslub hakikat (makna hakiki), majaz dan kinayah dalam pertuturan mereka. Kadangkala mereka menggunakan kalimah ( al-Lams ) untuk menunjukkan perbuatan menyentuh dngan tangan, manakala di waktu yang lain mereka menggunakannya sebagai kinayah kepada jima'.

Akibat daripada penggunaan ini baik di dalam al-Quran atau pertuturan bangsa Arab, maka berlakulah khilaf di kalangan ulama terhadap hukum ini;

1) Mazhab Hanafi : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan yang bermaksud jima' sahaja.

2) Mazhab Syafi`ei : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan yang bermaksud dengan tangan atau kulit. Mereka berdalilkan makna zahir (hakiki) pada ayat tersebut.

3) Mazhab Maliki, Hanbali dan yang sepakat dengan mereka : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan tangan yang disertai syahwat. Ini disebabkan kerana mereka memandang dari sudut ayat umum yang telah dikhususkan maka mereka mensyaratkan adanya syahwat.

4) Mazhab Ibnu Hazm az-Zohiri : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan tangan tanpa disertai syahwat. Tetapi sentuhan ini umum terhadap mana-mana perempuan samada mahram atau ajnabi, tua atau muda. Ini disebabkan kerana mereka memandang dari sudut ayat umum yang tetap kekal umum tanpa dikhususkan.

Kesimpulan khilaf ini ialah adakah lafaz yang berdasarkan bacaan hazaf ( al-Lams ) ini membawa makna hakiki iaitu sentuhan tangan atau makna kinayah ? Adakah jima' pula boleh dikira sebagai makna hakiki berdasarkan bacaan isbat ? Oleh itu, ia berkisar antara makna hakiki, majaz dan kinayah.

3) Aspek pada umumnya berlaku bertentangan antara ayat wudhu' dengan beberapa hadis Nabi SAW.

Di sini seolah-seolah secara zahirnya berlaku bersalahan antara makna umum ayat wudhu' dengan hadis Nabi SAW yang terbukti sabit atau sahih dari baginda seperti peristiwa Saidatina `Aisyah memegang kaki Nabi SAW ketika baginda sedang sujud dalam solat di mana baginda mungkin tidak memperbaharui wudhu'nya.

Contoh hadis itu seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (Kitab Solat; Bab apa yang mesti dibaca ketika ruku' dan sujud, hadis no 222/486), Imam at-Turmuzi (Kitab Doa-doa; bab 76, hadis no 3493 ) dan Imam al-Baihaqi (Kitab Toharah; Bab apa yang datang pada orang yang disentuh) :

روي عن عائشة رضي الله عنها – قالت : فقدت رسول الله صلى الله عليه وسلم ليلة من الفراش فالتمسته فوقعت يدي على بطن قدميه وهو في المسجد وهما منصوبتان وهو يقول : اللهم إني أعوذ برضاك من سخطك وبمعافاتك من عقوبتك وأعوذ بك منك لا أحصي ثناء عليك أنت كما أثنبت على نفسك

Antara hadis lain ialah seperti diriwayatkan oleh Imam an-Nasa'ie (Bab batal wudhu' dengan sebab sentuhan lelaki terhadap perempuan tanpa syahwat berdasarkan sanad al-Qosim dari `Aisyah) :

روي عن عائشة رضي الله عنها – قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي وأنا معترضة بين يديه اعتراض الجنازة حتى إذا أراد أن يوتر مسني برجله

Oleh itu sebahagian ulama telah menjadikan hadis-hadis sahih ini sebagai dalil untuk menguatkan pandangan mereka berkenaan hukum wudhu' di samping hujah mereka dari al-Quran berdasarkan bacaan qiraat yang mutawatir pada ayat wudhu' di atas.

TARJIH KE ATAS KHILAF YANG ADA


Berdasarkan perbincangan di atas, jelas kepada kita bahawa kedua-dua bacaan qiraat mutawatir (bacaan isbat dan hazaf) pada kalimah ( لامَسْتُم ) pada ayat 43 Surah al-Nisaa serta ayat 6 Surah al-Maidah membawa kepada dua hukum syarak yang berbeza seperti yang diistinbatkan oleh ulama fiqh dalam mazhab mereka berkenaan hukum wudhu'.

Oleh itu, sebahagian ulama telah mentarjih atau memilih pandangan yang menyatakan bahawa sentuhan lelaki terhadap perempuan tanpa syahwat tidak membatalkan wudhu', manakala sentuhan yang disertai syahwat akan membatalkan wudhu'. Pandangan ini merupakan pandangan yang paling sederhana dan paling dekat dengan manhaj Islam iaitu " at-Taisir ". Pandangan ini juga telah mengambil pendekatan menggabungkan kedua-dua qiraat mutawatir tanpa meninggalkan salah satu daripadanya. Di samping itu, ia juga merupakan pandangan jumhur ulama seperti yang dinyatakan oleh Ketua Ikatan Ulama Syam; Doktor Wahbah az-Zuhayli dalam kitabnya al-Wajiiz Fi al-Fiqh al-Islami.

والله تعالى أعلى وأعلم

Sumber Rujukan:
1) Al-Quran al-Karim
2) Muhadharat Fi Taujih al-Qiraat (Nota kuliah tahun satu); Dr. Abdul Karim Ibrahim Soleh. Pensyarah Bahagian Tafsir Kuliah Al-Quran & Al-Qiraat Al-Azhar Tanta
3) Syarah Bidayah al-Mujtahid Wa Nihayah al-Muqtasid; Dr. Abdullah al-`Abadi. Cetakan Darus Salam Kaherah.
4) Al-Wajiiz Fi Al-Fiqh Al-Islami; Dr. Wahbah az-Zuhayli. Cetakan Darul Fikr Beirut.

;;