Biodata Imam Syatibi r.a

Nama sebenar beliau adalah al-Qasim bin Firruh bin Ahmad bin Khalaf bin Abu Qasim Muhammad al-Syatibiy al-Ru’ainiy al-Andalusiy al-Dhorir dan beliau bermazhab Syafi’ei. Dilahirkan dalam keadaan buta pada akhir tahun 538 hijrah di Andalus (Sepanyol) disebuah perkampungan yang bernama Syatibah (sekarang dalam daerah Barcelona). Di Syatibah beliau mempelajari al-Qur’an dan Qiraat daripada gurunya Abi Abdullah Muhammad bin Abi al-‘As al-Nafari. Kemudian beliau merantau ke Balansiah iaitu satu perkampungan yang berhampiran dengan Syatibah dan berguru dengan Ibn Huzail. Beliau mempelajari ilmu Qiraat dan telah menghafal kitab al-Taisir karangan Imam Abu ‘Amru al-Dani dan juga mempelajari ilmu hadith. Beliau juga telah mempelajari ilmu Qiraat dari Syeikh Abi Tohir al-Salafi di Iskandariah, Mesir. Apabila beliau beliau sampai ke Mesir, beliau telah diberi penghormatan yang tinggi oleh ulama’-ulama’ di Mesir dan sekali gus dilantik sebagai ketua lujnah al-Qur’an oleh raja Mesir pada ketika itu. Imam Abu Syaamah al-Dimasyqiy mencipta sepotong syair yang menggambarkan betapa tingginya penghormatan ulama’-ulama’ Mesir terhadap Imam Syatibiy yang berbunyi:

رأيت جماعة فضلاء فازوا * برؤية شيخ مصر الشاطبي وكلهم يعظمه ويثنى * كتعظيم الصحابة للنبي[1]
Bermaksud: Aku melihat sekumpulan ulama’ yang bergembira dengan munculnya Imam al-Syatibiy, Dan kesemuanya membesar dan memuji beliau seakan-akan para sahabat memuji nabi. Masyarakat Mesir pada ketika itu berlumba-lumba untuk mempelajari al-Qur’an daripadanya. Kebiasaanya beliau memulakan pengajaran selepas solat subuh dan sentiasa mendahulukan murid-muridnya yang datang awal dengan berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu” .

Pernah berlaku, seorang anak muridnya yang selalu datang awal tidak dibenarkan membaca dahulu tanpa diberitahu sebabnya dan disuruh pula murid yang datang selepasnya membaca dahulu. Berfikirlah anak murid yang selalu datang awal itu seketika tentang perkara tersebut lalu tiba-tiba beliau menyedari bahawa beliau masih dalam keadaan junub. Lalu bergegaslah beliau untuk membersihkan diri (mengangkat hadas besar) dan sekembalinya beliau ke tempat pengajian, didapati murid yang kedua tadi masih belum selesai membaca dan ketika itu jugalah Imam al-Syatibiy serta-merta memberhentikan murid keduanya dan terus berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu”

Di antara kehebatan beliau ialah dapat mendengar azan yang menunjukkan masuk waktu solat tanpa diazankan. Beliau tidak bercakap kecuali apa yang dirasakan perlu dan hanya hadir mendengar bacaan murid-muridnya dalam keadaan berwuduk. Apabila ditanya tentang hal keadaannya beliau akan hanya menjawab dengan katanya: “sihat” walaupun pernah menderita kesakitan tetapi tidak pernah menzahirkannya. Beliau juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang tinggi selain daripada ingatan yang kuat dan akal yang tajam. Tidak memandang dunia dan takut pada hukum Allah. Walaupun beliau bukan bangsa arab, tetapi pengetahuannya dalam bidang ilmu-ilmu Islam serta bahasa arab cukup dalam dan luas. Beliau juga tidak segan silu berpolitik dalam memastikan hukum Allah tertegak di muka bumi ini.

Hirzu al-Amaani wa Wajhu al-Tahaani adalah antara kitab yang dikarangnya yang memuatkan pelbagai nasihat dan saranan kepada pencinta ilmu qiraat didalam bab muqaddimah antaranya,

وهذا زمان الصبر من لك بالتي * كقبض على جمر فتنجوا من البلا[2]

Maksudnya: Zaman ini zaman yang penuh kesabaran dan sesiapa yang berpegang kepada Islam yang sebenar diibaratkan seperti berpegang pada bara api dan mereka ini akan selamat daripada malapetaka. Berkenaan dengan kitab ini, Al-Tobari meriwayatkan, Imam al-Syatibiy pernah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan Baginda membaca kitab tersebut lalu bersabda “Kitab ini mempunyai keberkatan, barang siapa yang menghafalnya akan dimasukkan ke syurga”.

Beliau meninggal dunia setelah berusia 52 tahun pada hari ahad selepas asar, 28 Jamadil Akhir tahun 590 Hijrah dan dikebumikan pada hari Isnin di atas Jabal Muqattam, Mesir. Begitulah secara ringkasnya sejarah kehidupan Imam al-Syatibiy yang masih ramai tidak mengetahuinya lagi termasuklah pelajar-pelajar dalam bidang qiraat. Imam al-Syatibiy membawa contoh model pendukung ilmu qiraat yang sebenar.

Dalam keadaan beliau yang buta, bukan sahaja hebat dalam bidangnya tetapi sentiasa tegas dalam perkara yang melibatkan hukum Allah. Semoga semua pencinta ilmu qiraat dapat mempersembahkan ilmu ini sepertimana yang dipersembahkan oleh Imam al-Syatibiy bagi mengikis tanggapan bahawa orang qiraat ini hanya tahu membaca al-Qur’an sahaja dan lesu, senyap dan bisu dalam menegakkan kalimah Allah bila balik ke Malaysia nanti . Semoga kekentalan dan semangat tinggi Imam yang pernah bekerja-sama dengan Salahuddin al-Ayubbi ini dapat kita selami dan seterusnya menjadikan ilmu ini sebagai salah satu alternatif dalam mengembalikan masyarakat ke jalan yang benar.

1 comments:

mohamad said...

blog ini bagus tapi memberi kepayahan untuk orang nak membaca kerana tulisan tak nampak. terpaksa highlight dulu. harap dapat betulkan masalaha tersebut supaya ramai lagi pak cik pak cik yang baru belajar komputer senang membacanya. aslkm.